Format dan Pemarkahan Rumusan
Soalan 1 dalam kertas 2 merupakan soalan Rumusan. Soalan 2(a) iaitu Petikan Umum ada kaitan dengan soalan 1 kerana menggunakan petikan yang sama. Markah soalan 1 ialah 30 markah iaitu 20 markah isi dan 10 markah bahasa. Markah isi boleh dipecahkan lagi kepada 4 bahagian. Secara mudahnya pembahagian markah ialah 2 markah pendahuluan, 12 markah isi tersurat, 4 markah isi tersirat dan 2 markah penutup. Pembahagian markah untuk isi (tersurat dan tersirat) boleh berubah mengikut bilangan isi. Walau bagaimanapun, jumlah markah keseluruhan kombinasi isi tersurat dan tersirat tidak melebihi 16 markah. Jadual di bawah menunjukkan markah yang diperuntukkan.
Bahagian | Markah | Markah | ||||||||
Pengenalan/Pendahuluan | 2 | |||||||||
Isi Tersurat | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 | 12 | 16 |
Isi Tersirat | 12 | 11 | 10 | 9 | 8 | 7 | 6 | 5 | 4 | |
Penutup/Kesimpulan | 2 | |||||||||
Jumlah Maksimum | 20 |
Oleh sebab markah diberikan kepada 4 bahagian jawapan, elok kiranya penulisan rumusan disusun kepada 4 perenggan. Hal ini bukan sahaja untuk kekemasan malahan untuk memudahkan pemeriksa kertas Bahasa Melayu menyemak kertas jawapan calon. Parapelajar perlu mematuhi arahan soalan rumusan, iaitu menulis sehingga 120 patah perkataan. Sebabnya ialah pemeriksa hanya akan menyemak sehingga 120 patah perkataan sahaja walaupun anda menulis sehingga 200 patah perkataan. Untuk makluman anda, pemeriksa akan mengira jumlah perkataan dalam jawapan anda sehingga 120 patah kata sahaja. Selebihnya tidak akan disemak. Oleh itu, wajarlah anda mengetahui kata yang dikira satu perkataan dan yang bukan dikira satu perkataan.
Perkataan yang dikira sebagai satu perkataan :
- nama khas
- perkataan berulang
- penggunaan kata depan di dan ke
- tarikh
- angka yang ditulis dengan nombor atau perkataan
- gelaran
PANDUAN RUMUSAN BAHASA MELAYU SPM
Proses mencari dan mengenal pasti isi-isi utama dalam petikan.
Proses mengasingkan isi utama dan isi sampingan, huraian dan bukti.
Panjang rumusan mestilah mematuhi arahan ( tidak melebihi 120pp)
Jumlah isi minimum ( tersurat dan tersirat ialah 8 dan boleh ditulis lebih asalkan tidak melebihi jumlah
patah kata)
Boleh memetik ayat dalam petikan, asalkan tidak disalin secara terus.
Rumusan sebaik-baiknya ditulis dalam 4 peranggan iaitu perenggan pendahuluan, isi tersurat, isi tersirat dan kesimpulan.
Panjang rumusan mestilah mematuhi arahan ( tidak melebihi 120pp)
Jumlah isi minimum ( tersurat dan tersirat ialah 8 dan boleh ditulis lebih asalkan tidak melebihi jumlah
patah kata)
Boleh memetik ayat dalam petikan, asalkan tidak disalin secara terus.
Rumusan sebaik-baiknya ditulis dalam 4 peranggan iaitu perenggan pendahuluan, isi tersurat, isi tersirat dan kesimpulan.
PENDAHULUAN
a. Pastikan kata kunci yang terdapat dalam arahan isi tersurat.
b. Gantikan kata kunci tersebut dengan perkataan yang seerti dengannya.
• Faktor / sebab / punca/ elemen
• Akibat / kesan / impak / implikasi / natijah
• Keistimewaan / kelebihan / faedah/manfaat / kebaikan / kepentingan
• Kelemahan / keburukan / kekurangan / kekangan / halangan / batasan / masalah
• Peranan / fungsi / tanggungjawab / tugas.
• Langkah-langkah / cara-cara / kaedah /usaha-usaha / tindakan-tindakan/pendekatan /
strategi/modus operandi
Senarai perkataan alternatif untuk kata kunci bahagian pendahuluan
Langkah, usaha, strategi, kerjasama, tindakan, kaedah, inisiatif, tanggungjawab, cara.
|
Faktor, punca, sebab,pencetus,pendorong, pemangkin
|
Kesan, akibat, risiko, impak
|
Kekangan, halangan, masalah, rintangan, cabaran
|
Peranan, sumbangan, fungsi, tugas
|
Faedah, manfaat, kebaikan, kelebihan, kepentingan, keutamaan, kesan positif
|
Matlamat, tujuan, objektif
|
Ciri-ciri, criteria, sifat
|
Sikap, perwatakan , kelakuan, sahsiah, karektor
|
Imej, citra, gambaran, pelukisan
|
Kualiti, spesifikasi, ukuran, piawai
|
Nilai, norma
|
Masalah, kemelut, krisis, konflik, kesukaran , kepincangan, kebejatan
|
Situasi, keadaan, fenomena, senario
|
Kehendak, keperluan, keinginan
|
Mesej, teladan, pengajaran, iktibar
|
CONTOH SOALAN : Baca petikan dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang faktor-faktor (KATA KUNCI ISI TERSURAT) penderaan pembantu rumah dan kesan (KATA KUNCI ISI TERSIRAT) penderaan terhadap mereka.
1. Menulis frasa pendahuluan
CONTOH : Petikan membincangkan/ membicarakan/menyatakan ………
Sinonim : Petikan membincangkan punca-punca/ sebab-sebab penderaan pembantu rumah di negara kita pada masa ini.
ISI TERSURAT
• Isi tersurat ialah isi penting yang terdapat dalam petikan/ teks dan dapat dikesan berdasarkan arahan soalan.
• Jika arahan soalan adalah faktor..... isi tersurat mestilah berkaitan dengan faktor.
• Garis dan nomborkan setiap isi tersurat.Setiap petikan biasanya mengandungi lebih daripada 6 isi tersurat.
• Isi tersurat lazimnya terdapat dalam setiap perenggan petikan.
• Abaikan setiap contoh, misalan, seperti dll. Berikan perhatian kepada isi utama atau isi penting sahaja.
• Pelajar dilarang menyalin bulat-bulat / keseluruhan ayat daripada petikan. Calon mesti menggunakan ayat sendiri dengan membuat sedikit penggubahsuaian dari ayat asal.
• Beberapa ayat boleh digabungkan dalam ayat majmuk tetapi mesti lengkap.
• Untuk mengesan isi tersurat, pelajar DAPAT mengenal pasti perkatan-perkataan yang berikut, jika digunakan dalam petikan: (Rujuk jadual yang berikut)
Perkataan yang sering kali digunakan dalam ayat-ayat isi tersurat
`1. Punca = Disebabkan / kerana / daripada / oleh sebab/ menyumbang /
2. Kesan = Dapat / telah / mampu / berupaya /akan / boleh mendatangkan / menjadikan / menyebabkan / membolehkan / meninggalkan / mempengaruhi dan sebagainya.
3. Langkah = Hendaklah / perlu / mesti / harus / wajar / boleh / sepatutnya / wajib
Catatan : Selain mengenal pasti arahan dalam soalan dan kata kunci dalam ayat-ayat petikan , pelajar boleh juga menentukan isi tersurat berdasarkan ayat-ayat yang menggunakan Penanda Wacana sebagaimana jadual yang berikut:
Mengenal pasti Penanda Wacana Dalam Petikan
1. Walaupun… / Namun begitu. Pertentangan maklumat
2. Selain itu, Lebih daripada itu,Di samping, dan, serta, Kesinambungan maklumat / idea /tambahan
3. Natijahnya, akibatnya, Kesan
4. Juga, malahan Kesinambungan
5. Hal ini demikian kerana , Oleh sebab itu, Sebab
ISI TERSIRAT
• Isi tersirat merupakan ulasan yang munasabah terhadap unsur kedua /kata tugas kedua dalam arahan soalan
• Sekiranya unsur isi tersirat dalam arahan soalan kedua.... kesan-kesan.. maka pelajar hendaklah menulis kesan yang munasabah.
Contoh :
Penderaan menyebabkan pembantu rumah mengalami tekanan jiwa/ perasaan.
• Jumlah isi tesirat adalah 2 atau 3 isi, tetapi markah maksimum hanya 4 markah.
KESIMPULAN
• Dalam bahagian ini, pelajar mesti mengemukakan 2 unsur yang dapat menyimpul / merumus petikan .
• Unsur pertama ialah menyatakan cadangan/ saranan terhadap isu..... dengan ditandakan dengan kata... mestilah/ haruslah / hendaklah.
• Unsur kedua ialah menyatakan harapan / penyelesaian terhadap isu. Harapan ini ditandakan dengan kata ... agar / supaya
Contoh :
Kesimpulannya, kerajaan hendaklah membendung masalah penderaan pembantu rumah dengan segera agar hak-hak mereka dapat dilindungi ( kesan merupakan isi tersirat )
FORMULA: 4 PERENGGAN ( PSTK )
Petikan membincangkan ( Sinonim kata kunci ) ........................
Antara ( Kata tugasan S ) ialah / adalah......... S1................... dan ......... S2 ................ . Selain itu, ……… S3………… serta ……… S4………… Di samping itu, ……………….. S5…………. dan ………… S6……………………
Antara ( Kata tugasan T ) ialah/adalah………………T1………………................. dan ……………............. T2 ................................................
Kesimpulannya, pihak sasaran mestilah/ haruslah ( cadangan : menyokong/ membanteras/ menangani terhadap isu ) supaya/ agar ( kesan/ alasan ) isi tersirat.
(jumlah perkataan )
RUMUSAN - CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN
CONTOH MENJAWAB SOALAN RUMUSAN DAN PEMAHAMAN RUMUSAN
1.Arahan Soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan kesan-kesan pemulihan ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010. Bagi meringankan beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Langkah ini juga akan memastikan agenda masyarakat penyayang terus diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat. Oleh itu, bagi merangsang sektor perumahan kerajaan mencadangkan supaya pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman. Kerajaan juga telah membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan dan prasarana awam. Bon Simpanan Kerajaan telah diterbitkan untuk menjanakan pendapatan rakyat. Bon ini bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memperoleh pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun ke atas dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1,000.
Selain itu, kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar seperti bekalan elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak . Usaha ini akan meningkatkan ekonomi rakyat melalui pengambilan kontraktor kecil dan pekerja tempatan di kawasan luar bandar. Di samping itu, pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran Elektrik Kota Kinabalu, Sabah .
Kini, terdapat beberapa program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh pelbagai pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia , AgroBank dan TEKUN. Program ini bertujuan untuk membantu peniaga kecil di bandar dan luar bandar. Kaedah lain yang dilaksanakan adalah dengan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal. Bantuan yang diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan kewangan dan bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambahkan kemudahan pusat asuhan kanak-kanak.
Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan. Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan.
Kesimpulannya, kerajaan yakin usaha yang dirangka dan dilaksanakan adalah komprehensif dan menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara daripada terjerumus dalam kancah kemelesetan yang mendalam sehingga memberi kesan kepada rakyatnya. Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana ‚‛Pakej RM60b Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global’, Berita Harian, 11 Mac 2009)
(c) Peperiksaan Percubaan MRSM 2009
2.Panduan Isi
Pendahuluan
Petikan membincangkan usaha-usaha kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi di negara ini @ Petikan membincangkan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat dalam menangani kegawatan ekonomi di negara ini.
Isi Tersurat
Langkah-langkah kerajaan meringankan beban rakyat:
1. Kerajaan melaksanakan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat.
2. Kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pertama (khusus untuk
meningkatkan pemilikan rumah oleh rakyat).
3. Pembeli diberi pelepasan cukai atas faedah pinjaman.
4. Kerajaan menambah baik infrastruktur awam.
5. Kerajaan telah menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan untuk menjana pendapatan rakyat.
6. Kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar.
7. Pelbagai program dan projek dirancang oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak.
8. Pelbagai pihak menyediakan program mikrokredit tanpa cagaran.
9. Kerajaan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.
10.Kerajaan mengecualikan cukai atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan.
11.Kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman
perumahan.
Isi Tersirat
Kesan-kesan pemulihan ekonomi terhadap rakyat
1. Kehidupan rakyat akan lebih selesa/ Rakyat berpeluang membaiki ekonomi masing-masing.
2. Peluang pekerjaan terbuka luas untuk rakyat/ Pengangguran dapat dikurangkan
3. Rakyat tidak lagi meminjam wang secara haram/melabur skim cepat kaya.
4. Rakyat tidak mengalami tekanan/stres,
5. Rakyat tidak melakukan / mengadakan demonstrasi terhadap kenaikan harga barang. .
6. Kuasa beli rakyat terjamin/mampu berbelanja .
7. Rakyat terhalang daripada melakukan jenayah.
Kesimpulan
Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama menangani kemelut ekonomi negara agar rakyat dapat hidup dalam harmoni.
3.Jawapan Contoh
Petikan membincangkan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat dalam menangani kegawatan ekonomi di negara ini.
Antara langkah kerajaan menangani kegawatan ekonomi ialah mengambil langkah pemulihan dengan melaksanakan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat. Pakej rangsangan ekonomi pertama juga diperkenalkan sebagai langkah menangani krisis ekonomi. Kerajaan menambah baik infrastruktur awam dan menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan untuk menjana pendapatan rakyat. Selain itu, kerajaan juga mengambil langkah menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar. Kerajaan memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik dan mengecualikan cukai atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan sebagai langkah lain menangani isu ini.
Kesan pemulihan ekonomi menjadikan kehidupan rakyat lebih selesa. Pengangguran dapat dikurangkan serta kuasa beli rakyat akan meningkat.
Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama menangani kemelut ekonomi negara agar rakyat dapat hidup dalam harmoni.
( 118 patah perkataan )
Soalan 2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata membasmi kemiskinan tegar? [2 markah]
i. maksud rangkai kata membasmi kemiskinan tegar
..menghapuskan/membanteras/memerangi/mengatasikedaifan/kepapaan/kemelaratan hidup/
ketidakupayaan ekonomi yang melampau/sukar diatasi/diubah
(ii) Bagaimanakah peruntukan tambahan yang disediakan oleh kerajaan dibelanjakan?
[3 markah]
ii. peruntukan tambahan yang disediakan oleh kerajaan dibelanjakan dengan…
… menambah baik infrastruktur yang rosak
… menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian
... menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan/prasarana awam
(iii) Nyatakan empat cara rakyat dapat menangani krisis ekonomi negara. [4 markah]
iii.empat cara rakyat dapat menangani krisis ekonomi negara...
.... berjimat cermat dalam perbelanjaan
... memberi sokongan kepada kempen penjimatan ekonomi
… bekerja sambilan/berniaga
… bercucuk tanam/melibatkan diri dalam bidang pertanian
... melancong dalam negara
... membeli barangan buatan tempatan
... menggunakan pengangkutan awam
4. Jawapan Contoh
i Maksud rangkai kata 'membasmi kemiskinan tegar' adalah membanteras kemelaratan hidup yang sukar diatasi.
ii. Peruntukan tambahan yang disediakan oleh kerajaan dibelanjakan dengan menambah baik infrastruktur yang rosak. Selain itu, kerajaan menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di samping menyelenggara dan membaik pulih pelbagai kemudahan serta prasarana awam.
iii Empat cara yang boleh dilakukan oleh rakyat untuk menangani krisis ekonomi negara adalah dengan berjimat cermat dalam perbelanjaan. Kedua, rakyat juga boleh memberi sokongan kepada kempen penjimatan ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan Cara ketiga untuk menangani krisis ekonomi adalah dengan rakyat bekerja sambilan atau melibatkan diri dalam perniagan secara kecil-kecilan. Keempat, rakyat boleh bercucuk tanam atau melibatkan diri dalam bidang pertanian . Terdapat beberapa cara yang lain untuk menangani krisis ini seperti rakyat hanya melancong dalam negara dan membeli barangan buatan tempatan. Rakyat juga perlu menggunakan pengangkutan awam.
Sampel Soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentanglangkah-langkah menangani masalah buli dan kesan-kesan yang dialami oleh mangsa buli apabila masalah ini berlarutan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kes buli yang semakin menular di sekolah menunjukkan berlakunya kepincangan dalam sistem pendidikan di sekolah pada masa ini sekiranya masalah tersebut tidak diatasi dengan segera. Perbuatan membuli bertujuan supaya individu lain mematuhi dan menghormati mereka. Pembuli lebih suka teman-teman persekitaran mengikut kehendak mereka bagai lembu dicucuk hidung. Sehubungan dengan itu,Kementerian Pelajaran juga digesa supaya mewujudkan dasar antibuli di sekolah-sekolah bagi mengawal gejala buli dalam kalangan pelajar. Kawalan tersebut perlu ditekankan kepada pelajar lelaki terutama semasa mereka berada di Tahun Enam. Selain itu, pihak sekolah juga harus melaksanakan sendiri tinjauan terhadap kejadian buli di sekolah masing-masing.
Fenomena buli dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu buli secara langsung dan secara tidak langsung. Buli secara langsung termasuklah dibuli, diugut, disepak atau membalas pukulan. Buli jenis ini disebut sebagai buli fizikal. Buli secara tidak langsung pula lebih dikenali sebagai buli psikologi, iaitu melibatkan kata-kata seperti memanggil atau mengejek-ejek individu dengan nama tertentu, dikacau, ditertawakan rakan lain atau menyebarkan gosip liar terhadap seseorang. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pelajar menjadi pembuli, iaitu pengaruh rakan sebaya dan saiz tubuh yang besar dan tegap. Selain itu, dapatan kajian turut menunjukkan pelajar membuli kerana berasa dirinya tidak selamat jika tidak berbuat sesuatu yang boleh melindungi dirinya daripada perkara yang tidak diingini.
Kejadian buli tidak harus dipandang ringan. Penglibatan ibu bapa dalam menangani masalah buli di sekolah ini menjadi penting. Ibu bapa perlu berbincang dengan guru sekiranya anak-anak mereka bertukar sikap, menjadi pendiam, atau kurang selera makan. Hal ini demikian kerana tidak semua pelajar yang menjadi mangsa mahu melaporkan masalahnya kepada pihak sekolah. Sekolah perlu menggalakkan murid yang menjadi mangsa buli melaporkan kejadian tersebut kepada guru, terutamanya guru disiplin dan guru kaunselor. Pada masa ini, kebanyakan sekolah tidak mempunyai dasar menggalakkan murid-murid melaporkan kejadian buli. Oleh itu,sekolah juga disarankan supaya mewujudkan satu bentuk perjanjian dengan murid yang membolehkan pihak sekolah mengenakan tindakan terhadap murid yang terlibat dengan tingkah laku buli.
Bagaimanapun, ada kemungkinan mangsa berasa takut membuat laporan kepada guru kerana bimbang akan dikenakan tindakan lebih keras daripada pembuli. Sehubungan dnegan itu, pihak sekolah boleh menyediakan “Kotak Aduan" bagi membolehkan kes buli dilaporkan secara rahsia oleh mangsa buli. Penekanan kepada program antibuli juga perlu diterapkan di dalam kelas yang merupakan tempat yang paling banyak berlakunya kes buli. Program individu perlu diwujudkan dengan carakaunselor memanggil pembuli dan mangsa untuk diberikan kaunseling secara berasingan atau memanggil ibu bapa pelajar terbabit. Pada masa ini, terdapat satu laman web yang boleh dilayari oleh pelajar dan guru bagi mendapatkan maklumat dan berkongsi pengalaman tentang buli, iaitu www.bullying.org. Pihak sekolah juga boleh menubuhkan petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan petugas khas dalam kalangan murid untuk memberi laporan tentang kejadian buli di dalam kelas atau di kawasan sekolah.
(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana Haji Samat b.Buang, Majalah Dewan Siswa, 2005)
Sampel Jawapan
Petikan membincangkan usaha-usaha menangani masalah buli di sekolah.
Langkah-langkah yang wajar dilaksanakan ialah Kementerian Pelajaran hendaklah mewujudkan dasar antibuli di sekolah-sekolah manakala pihak sekolah haruslah melaksanakan sendiri tinjauan terhadap kejadian buli di sekolah masing-masing dan ibu bapa perlulah berbincang dengan guru sekiranya anak-anak mereka berubah sikap. Selain itu, sekolah perlu menggalakkan murid yang menjadi mangsa buli melaporkan kejadian tersebut kepada guru. Sekolah juga disarankan supaya mewujudkan satu bentuk perjanjian bagi membolehkan mereka mengenakan tindakan terhadap murid yang terlibat. “Kotak Aduan" juga boleh disediakan di sekolah bagi membolehkan kes buli dilaporkan secara rahsia oleh mangsa buli.
Kesan-kesan yang dialami oleh mangsa buli ialah mereka mengalami trauma dalam jangka panjang dan boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.
Kesimpulannya, masalah buli perlu diatasi agar dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia.
(126patah perkataan)
PEMAHAMAN
1. Soalan pemahaman petikan umum dikemukakan dalam soalan 2(a) dan markah yang diperuntukkan ialah 9 markah.
2. Soalan yang dikemukakan merujuk kepada petikan umum.
3. Terdapat 3 bahagian soalan yang dikemukakan dan anda wajib menjawab semua soalan:
- Soalan 2 (a) (i) ialah soalan yang meminta anda menyatakan maksud rangkai kata. Anda hendaklah memberikan maksud rangkai kata dengan tepat. Anda tidak dibenarkan menghuraikan jawapan tetapi mestilah menjelaskan maksud rangkai kata dengan mencari kata sama erti atau sinonim tanpa mengubah maksud rangkai kata yang ada dalam petikan. [2 markah]
- Soalan 2 (a) (ii) pula ialah soalan pemahaman berdasarkan petikan. Anda hendaklah mengenal pasti jawapan daripada petikan berdasarkan peruntukan markah yang diberikan dalam soalan. Anda tidak boleh menulis isi yang tiada dalam petikan. Biasanya anda hendaklah mengemukakan sekurang-kurangnya 3 isi kerana setiap isi yang betul akan diberikan satu markah. Anda digalakkan memberikan jawapan yang lebih berdasarkan petikan (jika ada). [3 markah]
- Soalan 2 (a) (iii) ialah soalan pemahaman berbentuk Kemahiran Berfikir (KB). Jawapan yang diberi mestilah logik dan rasional. Anda hendaklah memberi seberapa banyak isi yang diketahui, iaitu melebihi empat isi. Pastikan jawapan yang diberi tiada di dalam petikan. [4 markah]
Tips Ekspres
1. Baca petikan yang diberi dengan memahami keseluruhan idea. Kemudian,teliti dan fahami soalan yang diberikan.
2. Pastikan kehendak soalan dan jawab soalan dengan berdasarkan kehendak soalan bagi memperoleh markah penuh.
3. Bina ayat yang lengkap, semak ejaan, tatabahasa, dan tanda baca bagi mengelakkan pemotongan markah.
4. Pelajar dinasihatkan supaya menjawab soalan yang mudah dahulu, iaitu soalan 2 (a) (ii) kerana jawapannya ada di dalam petikan. Kemudian, jawab soalan-soalan yang lain.
_______________________________________________________________________
Sampel Soalan
Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat sendiri.
2 (a) (i) Berikan maksud rangkai kata bagai lembu dicucuk hidung. [2 markah]
2 (a) (ii) Apakah yang menyebabkan seseorang pelajar menjadi pembuli? [3 markah]
2 (a) (iii) Nyatakan peranan anda sebagai seorang sahabat sekiranya rakan baik anda seorang pembuli. [4 markah]
Sampel Jawapan
2 (a) (i) Maksud rangkai kata ialah mengikut arahan dan kata-kata individu tanpa banyak bertanya. (anda perlu menyatakan perkataan yang sinonim dengan perkataan yang disoal) [2 markah]
2 (a) (ii) Punca-puncanya ialah pengaruh rakan sebaya [1 markah] dan saiz tubuh pembuli yang besar dan tegap [1 markah]. Selain itu, pelajar membuli kerana berasa dirinya tidak selamat jika tidak berbuat sesuatu yang boleh melindungi dirinya daripada perkara yang tidak diingini. [1 markah]
2 (a) (iii) Peranan saya adalah memberi teguran dan ingatan bahawa perbuatannya salah [1 markah], melaporkan kejadian buli yang dilakukan kepada guru [1 markah], membawanya berjumpa dengan kaunselor [1 markah], memberitahu ibu bapanya tentang tingkah laku sahabat saya. [1 markah]
CONTOH MENJAWAB SOALAN RUMUSAN
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan negara dan kesan-kesanya.Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kegagalan atlet negara di Sukan Olimpik Sdney 2000 menimbulkan pelbagai persoalan tentang mutu pembangunan sukan negara di arena antarabangsa. Mutu sukan negara sepatutnya terus berkembang dan mencapai banyak kejayaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Tetapi,mutu sukan negara terus merosot dari semasa ke semasa sedangkan pada masa yang sama kerajaan telah menyediakan dan membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan sukan tanah air supaya mencapai taraf dunia.
Sebenarnya kemelut dalam dunia sukan negara boleh berpunca daripada banyak pihak. Paling ketara ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain. Mereka lebih banyak menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi daripada memberi perhatian khusus untuk memajukan sukan bertaraf dunia. Mereka sering menunding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan sendiri apabila punca kemerosotan atlet dikenali pasti. Mereka seharusnya sedar bahawa kegagalan atlet sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan. Hal ini disebabkan, mereka sebagai perancang pembangunan sukan tidak mempunyai hasrat atau visi yang cukup tinggi untuk membantu meningkatkan mutu sukan.
Pengkritik sukan berpendapat banyak faktor yang menyebabkan mutu sukan negara tidak mencapai kemajuan atau bertaraf dunia. Mereka berpendapat sistem pendidikan yang lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan sikap masyarakat atau ibu bapa yang mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid sekolah daripada mendekati sukan. Fenomena ini menjadikan sekolah kini bukan lagi gelenggang untuk melahirkan dan mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah yang boleh digilap sebagai atlet negara sehingga mencapai taraf dunia.
Bagaimanapun adalah tidak adil kita hanya menyalahkan pihak tertentu tanpa meninjau dilema atlet. Secara umumnya moral atlet kita berada di tahap yang rendah dan mudah mengaku kalah apabila menghadapi lawan yang bertaraf dunia. Hal ini mungkin kerana mereka kurang keyakinan di samping kurang pendedahan dan pengetahuan. Atlet kita juga dikatakan tidak bersikap matang dalam usaha untuk menigkatkan prestasi diri. Mereka tidak menjiwai watak sebagai ahli sukan tulen yang sanggup untuk meningkatkan prestasi dan kemahiran sendiri. Sesetengah atlet tidak berdisiplin dan menjadi keras kepala kerana menyedari khidmat mereka amat diperlukan, ekoran sudah tidak ada atlet lain yang akan mewakili negara. Sikap atlet yang manja dan sukar ditegur ini masalah kepada jurulatih untuk menggilap atlet negara menjadi ahli sukan bertaraf dunia. Permasalahan ini bukan sahaja memerlukan atlet mengubah sikap tetapi juga semua pihak yang terlibat demi mewujudkan sukan sebagai suatu budaya kehidupan.
Contoh Jawapan Lemah
Petikan membincangkan faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan di negara kita dan langkah-langkahnya.
Salah satu faktor yang menghalang pembangunan sukan ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain. Sesetengahnya pula menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi. Kegagalan atlet pula sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan sendiri. Pengkritik sukan berpendapat bahawa sistem pendidikan lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan ibu bapa juga mementingkan pelajar anak-anak mereka. Di samping itu,moral atlet kita dikatakan rendah dan mengaku kalah.
Kesan yang dialami ialah kemerosotan mutu sukan di peringkat negara dan juga antarabangsa. Kerajaan juga telah mengalami kerugian kerana telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan tanah air.
Kesimpulannya, semua pihak mestilah menangani masalah ini dengan segera.
[123 patah perkataan]
Komen Guru
1. Pelajar mengemukakan pendahuluan tanpa mengubah arahan atau kata kunci pertama.
2. Isi tersurat
-Pelajar hanya mengemukakan 5 isi yang memberi 10 markah.Sewajarnya pelajar mesti mengemukakan satu lagi isi tersurat
3. Isi tersirat
-Pelajar gagal mengemukakan 2 isi tersirat.Isi tersirat kedua merupakan isi tersurat. Sewajarnya pelajar menulis sekurang-sekurangnya dua isi tersirat untuk memperoleh 4 markah.
4. Kesimpulan yang di tulis oleh pelajar tidak lengkap kerana tidak menggabungkan ayat berbentuk cadangan dengan ayat berbentuk harapan seperti yang disarankan di samping tidak ada kata hubung agar/supaya.
Jawapan Yang Dibaiki
Petikan membincangkan punca-punca yang membantutkan pembangunan sukan negara.
Antara puncanya ialah sikap profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain[S1] di samping sikap mereka yang menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi.[S2] Selain itu, mereka menuding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan diri.[S3] Mereka harus menyedari bahawa kegagalan atlet dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan[S4] di samping sikap mereka sebagai perencang sukan tidak mempunyai visi.[S5] Seperkara lagi, sistem pendidikan mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid daripada menyertai sukan.[S6]
Antara kesannya ialah mutu sukan semakin merosot di peringkat negara dan antarabangsa.[T1] Selain itu, atlet tidak dapat menjalani latihan intensif sama ada di dalam ataupun di luar negara kerana persatuan tidak mempuyai kos untuk membiayai mereka.[T2]
Kesimpulannya, semua pihak hendaklah bekerjasama menanganinya supaya mutu sukan akan terus meningkat maju.
[124 Patah Perkataan]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan